Kim Jong-nam

WASHINGTON – Amerika Syarikat secara rasmi memaklumkan Korea Utara telah memerintah abang tiri dan pesaing kepada Kim Jong-un dibunuh dengan agen saraf VX.

Kim Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada bulan Februari tahun lalu selepas dua wanita menyapu wajah mangsa dengan senjata kimia itu.

Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Amerika Syarikat telah membuat penentuan pada 22 Februari di bawah Akta Kawalan Senjata Kimia dan Biologi dan Akta Penghapusan Peperangan pada 1991.

Sekatan tambahan akan dilaksanakan terhadap Pyongyang berkuat kuasa pada 5 Mac selepas penemuan itu secara rasmi diterbitkan, katanya.

“Tindakan penghinaan terhadap norma sejagat berhubung penggunaan senjata kimia terus menunjukkan sifat Korea Utara dan lantaran itu tidak mampu toleransi dengan program WMD Korea Utara dalam apa juga bentuk,” kata Nauert.

Sekatan terbaru oleh Amerika Syarikat terhadap Pyongyang serentak dengan usaha Korea Selatan untuk mengadakan rundingan bagi menghentikan penggunaan nuklear.

Sebelum ini, Malaysia telah mengenal pasti Jong-nam mati kerana terdedah dengan agen saraf VX. – MalaysiaGazette