SHAH ALAM – Suami Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan pindaan mencederakan anaknya, 24 Februari lalu.
Armin yang tiba di mahkamah dengan memakai baju kelabu dan berseluar jeans, mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Armin yang berkerja sendiri, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan, lapor BH Online.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di rumahnya di Denai Alam dekat sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, bekas ketua pramugara yang diwakili peguam Muhammad Zufar Elias itu boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.
Di mahkamah sama kelmarin, Armin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anak lelakinya berusia sembilan tahun itu.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu.
Raja Noor Adilla mengekalkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 April ini sebagai tarikh serahan dokumen.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.
Armin ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas tiada rakan atau ahli keluarga datang membayar wang jaminan.
Laporan polis dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum Armin ditahan pada Jumaat lalu.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9. – MalaysiaGazette