Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz bersuara mempertahankan dirinya selepas dituduh menyalahgunakan kuasa di dalam pemberian Permit Import (AP) semasa masih memegang jawatan tersebut.

Menggunakan platform Facebook, Rafidah menjelaskan, isu AP telah dijawab oleh beliau di Parlimen semasa masih memegang jawatan berkenaan dan meminta supaya penulis yang dipanggilnya Pak Turut itu berhenti memfitnahnya.

“Mereka ingat AP itu milik datuk saya?

“Saya boleh keluarkan dan agihnya sesuka hati saya?

“Jangan sesekali merosakkan nama baik MITI yang saya terajui selama 21 tahun.

“Isu AP telah selesai, saya telah jelaskan di Parlimen. Tiada apa lagi.

“Tolong semak hansard Parlimen sebelum cuba membuat fitnah dan membuat dosa kering,” tegasnya.

Menurut Rafidah, beliau tidak pernah takut kepada manusia malah tidak sesekali ‘sujud’ kepada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini termasuklah Tun Abdul Razak Hussien, Tun Hussien On, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pernah menjadi ketuanya sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Jelasnya, beliau tidak kisah untuk memberi teguran kepada bos-bosnya itu sekiranya apa yang mereka lakukan tidak selari dengan prinsip dan undang-undang.

“Kita semua akan mati. Lebih baik mati untuk negara daripada mati kerana mengkhianati dan membawa malu kepada negara,” katanya.

Meskipun tidak menyebut nama penulis mahupun merujuk mana-mana artikel secara khusus, posting Pengerusi AirAsia X dipercayai ditujukan kepada artikel bertajuk “Rafidah, Permaisuri AP” yang ditulis oleh Raja Petra Kamaruddin di blognya.

Menurut Rafidah, beliau tidak akan berhenti bercakap dan menyuarakan pendapatnya demi kepentingan rakyat meskipun difitnah atau diancam. – MalaysiaGazette