KLCC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi penerima manfaat terbesar daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Kerjasama Trans-Pasifik (CPTPP), kata Moody’s.

Agensi penarafan itu berkata, menurut Institut Peterson bagi Ekonomi Antarabangsa (PIIE), ini berlaku kerana kesan pendapatan sebenar daripada CPTPP akan menjadi penyumbang tertinggi kepada negara.

“Perjanjian ini akan menyediakan akses eksport kepada Malaysia ke dalam pasaran baharu termasuk Kanada, Peru dan Mexico, memberi manfaat kepada pengeksport minyak sawit, getah dan elektronik,” katanya.

Perjanjian ini menurur Moody’s akan merangsang eksport dan pendapatan kepada semua negara anggota dan membantu mereka untuk mengekalkan usaha-usaha reformasi mereka.

Bagaimanapun, manfaat CPTPP dijangka lebih kecil tanpa penyertaan Amerika Syarikat, katanya.

Menurut PIIE, CPTPP akan menjana hasil pendapatan sebenar sebanyak AS$157 bilion kepada negara anggota berbanding AS$465 bilion daripada TPP asal.

“Hilangnya peluang perdagangan akan paling dirasai oleh Vietnam (B1 positif), Malaysia (A3 stabil) dan Jepun (A1 stabil) kerana negara-negara ini akan mendapat hasil yang lebih besar disumbang oleh akses kepada pasaran Amerika Syarikat berbanding perjanjian sekarang.

Bagaimanapun, pengurangan tarif dan halangan bukan tarif akan tetap merangsang eksport dan perdagangan kepada semua negara anggota.-MalaysiaGazette