Penduduk terdesak, terpaksa tadah air dari saliran paip dalam longkang yang pecah.

SHAH ALAM – Ketiadaan bekalan air di beberapa daerah di Selangor termasuk Klang dan Shah Alam masuk hari keempat hari ini.

Pelbagai usaha dilakukan, terutama jentera UMNO Bahagian bagi membantu penduduk mendapat sumber air termasuk bekerjasama dengan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Azhari Shaari berkata, beliau mendapatkan persetujuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengangkut air dan menghantarnya kepada penduduk di kawasan agak kritikal seperti di Seksyen 7, Seksyen 14 dan Seksyen 20.

Katanya, masalah ketiadaan air ketika ini agak kritikal sehingga ada penduduk nekad mendapatkan sumber itu walaupun terpaksa berjalan atau menaiki kenderaan.

“Saya hubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Shah Alam, mereka bersetuju untuk membantu. Mereka guna jenteranya mengangkut air di kawasan yang dikenal pasti kemudian hantar ke kawasan penduduk.

“Walaupun jarak masa jentera bomba ini tiba agak lama kerana tempat ambil air itu jauh, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha dari pihak kami untuk membantu rakyat,” katanya.

Mengenai jawapan Ahli Parlimen Shah Alam dari Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad, bahawa di Shah Alam tidak ada masalah air, sambil membidas, Azhari berkata, wakil rakyat itu masih tidur.

“Khalid kata air di Shah Alam okey. Dia boleh datang tengok apa penduduk di Seksyen 7, 14 dan 20 sekarang ini buat. Kenapa mereka beratur panjang sambil membawa baldi dan tong kosong ini?

“Dia tidur, tak tau apa yang berlaku. Semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Selangor di Shah Alam tidak turun. Mereka sedang tidur lena. Eloklah, tidurlah selena-lenanya sampai pilihan raya,” katanya.

Ketika ditanya Ahli Parlimen BN-Setiu, Che Mohamad Zulkifli mengenai masalah air di Shah Alam, Khalid dilaporkan menjawab, “Ya ke? Saya balik Shah Alam tidak ada apa pun, semua ok sahaja, siap mandi tidak ada masalah”.

Bahkan, beliau berkata, semuanya baik sahaja.

Azhari turut berkata, beliau hampir menitis air mata melihat penduduk menadah air dari longkang yang pecah.

Katanya, ada penduduk berebut mengambil air dari longkang pecah dan ada saliran air bersih di dalamnya.

“Saya sedih tengok. Nak menitis air mata saya melihat keadaan penduduk yang terdesak, memerlukan sumber air.

“Tetapi kerajaan Selangor masih berdiam diri, tidak melakukan apa-apa kaedah untuk mengatasinya. Mereka sediakan lori tangki pun tidak mencukupi sehingga ada banyak kawasan tidak mendapat air sampai sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast