Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa bergambar kenangan dengan anggota-anggota RELA pada Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA ke 46 di MAEPS, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 10 MAC 2018.

SERDANG – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan tambahan uniform digital baharu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebanyak RM20 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, jumlah itu adalah penambahan daripada peruntukan RM100 juta untuk tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan uniform digital pada tahun 2017 adalah RM80 juta.

“Timbalan Perdana Menteri ada bisik tadi, tahun lalu RM80 juta dan tahun ini RM100 juta dan alangkah cantik campur RM180 juta dan tambah RM20 juta.

“Jadi dalam perhimpunan luar biasa ini, saya tambah peruntukan RM20 juta  untuk uniform digital baharu.

“Lagi pun anggota RELA yang miliki uniform itu hanya berjumlah 550,000 orang berbanding keahlian anggota 3.05 juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun RELA Ke-46 Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 di MAEPS di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan berita gembira buat anggota RELA apabila elaun mereka dinaikkan daripada RM6 sejam kepada RM8 sejam.

Ujarnya lagi, elaun pegawai RELA pula dinaikkan daripada RM7.80 sejam ke RM9.80 sejam.

“Mengambil kira kesetiaan tidak belah bahagi anggota RELA, sukacita saya umumkan kenaikan elaun bagi menghargai jasa RELA selama ini.

“Apa yang kerajaan rancang untuk RELA menjadi angkatan kedua selepas ATM dan PDRM sudah menjadi kenyataan.

“RELA kini bukan menjaga keselamatan majlis keraian lagi malah peranannya telah diperluaskan hingga menjaga sempadan negara, bendung aktiviti penyeludupan manusia, musibah banjir dan ancaman pengganas.

“RELA juga cerminan anggota akar umbi masyarakat yang kita sifatkan sebagai mata, telinga dan tangan kerajaan dan wujud hakikatnya di tengah-tengah masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan majlis tersebut turut menyaksikan Najib memakaikan pangkat Kehormat RELA kepada Ali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) memakaikan Pangkat Kehormat RELA kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa (dua kanan) sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin (kiri) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA ke 46 di MAEPS, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 10 MAC 2018

Sambutan majlis itu juga diadakan serentak di Universiti Malaysia Sabah, Sabah dan Stadium Perpaduan Petrajaya, Sarawak di mana PM dan TPM turut berinteraksi secara langsung bersama Ketua Menteri Sabah dan Sarawak dan melibatkan seramai 41,000 anggota dari seluruh negara. – MalaysiaGazette