Perodua mencatat jualan sebanyak 7,886 kenderaan pada bulan Mei 2020, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini kepada 52,920 unit.-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – UMW Holdings Bhd. (UMW Holdings) berhasrat untuk menjadi pemilik saham terbesar syarikat pembuat kereta, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd.(Perodua) dengan mengambil alih kepentingan MBM Resources Bhd dan PNB Equity Resources Sdn. Bhd.

Setakat ini, UMW Holdings memiliki sebanyak 38 peratus kepentingan dalam Perodua dan sekiranya cadangan itu berjaya dimeterai, syarikat tersebut bakal menguasai 70.6 peratus saham syarikat kereta nasional kedua itu.

Dalam kenyataannya di Bursa Malaysia, UMW berkata, di bawah cadangan pertama, syarikat itu akan mengambil alih 50.07 peratus pegangan MBM Resources daripada Med-Bumikar Mara Sdn. Bhd. pada harga RM501 juta atau RM2.56 sesaham.

Tawaran ini menilai MBM Resources yang memiliki 22.58 peratus kepentingan ekuiti dalam Perodua pada harga RM1 bilion.

Ia juga sekaligus mencetuskan tawaran mandatori kepada baki saham di dalam MBM Resources.

Saham-saham MBM Resources yang terlibat di dalam pengedaran dan penjualan jenama-jenama antarabangsa dan tempatan utama di Malaysia seperti Perodua, Daihatsu, Mitsubishi, Volkswagen dan Volvo selain mengeluarkan alat ganti automotif ditutup pada harga RM2.20 pada Jumaat.

“UMW Holdings tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian MBM Resources,” katanya.

Selepas pengambilan alih MBM Resources, UMW Holdings berkata, ia akan menawarkan untuk membeli 10 peratus kepentingan PNB Equity Resources Sdn. Bhd. di dalam Perodua pada harga RM417.5 juta yang akan dibayar secara tunai dan terbitan saham baharu.

Konglomerat itu akan membayar RM117.5 juta secara tunai manakala bakinya akan dibuat melalui terbitan saham baharu berjumlah 49.26 unit pada harga RM6.09 sesaham bagi setiap saham yang dimiliki oleh anak syarikat Permodalan Nasional Bhd. (PNB) itu.

Urusniaga ini meletakkan nilai Perodua pada harga RM4.175 bilion.

“Cadangan pengambilan alih ini adalah konsisten dengan strategi syarikat untuk meningkatkan perniagaan teras dalam bidang automatif, peralatan dan pengeluaran serta kejuruteraan.

“Ia akan membolehkan UMW Holdings untuk menambah baik prospek di dalam segmen automotif dengan meluaskan kekuatan Perodua di dalam segmen kereta nasional di samping kehadiran kereta-kereta bukan nasional yang turut dimiliki syarikat seperti Toyota,” tambahnya lagi.

Maybank Investment Bhd. dilantik sebagai penasihat UMW Holdings di dalam urusniaga ini.

Tawaran sah sehingga 28 Mac ini.-MalaysiaGazette