Profesor Dr Ramlah Adam
Profesor Dr Ramlah Adam

KUALA LUMPUR – Janji untuk mengembalikan institusi diraja menerusi Pakatan Harapan baru-baru ini terbukti hanya strategi untuk kepentingan politik semata-mata kerana ia bercanggah dengan tingkah laku pemimpin parti itu.

Jelas penganalisis politik Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, ini kerana umum mengetahui pemimpin-pemimpin parti itu sering mempertikaikan titah institusi tertinggi itu dalam negara menerusi pelbagai aspek.

Beliau dalam masa yang sama mengingatkan tindakan Pengerusi gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab pada 1993 yang meminda Perlembagaan Malaysia supaya perkenan raja-raja tidak lagi diperlukan dalam mewartakan sesuatu undang-undang yang diluluskan Parlimen dan ia dilihat bercanggah dengan manifesto parti itu.

“Dari segi kerja kerajaan sudah uruskan nasihat Majlis Raja-raja. Tapi mereka tidak ada isu, jadi mereka bangkitkan kembali, ungkit.

“Tun M yang hilangkan kuasa raja di peringkat negara, sekarang Yang Dipertuan Agong (YDPA) sudah tidak boleh meluluskan undang-undang dan dikawal oleh Parlimen, kalau tidak lulus 30 hari, perkara itu dijadikan undang-undang. Siapa sebenarnya yang memperlekehkan bidang kuasa dan kedudukan YDPA di peringkat negara.

“Parlimen itu YDPA dulunya di atas Parlimen, sepatutnya. Sekarang macam mana? Siapa yang buat kalau butkan Tun M? Kalau nak bercakap semak fakta,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis mengingatkan PH bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah meminggirkan saranan Majlis Raja-raja bahawa isu berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini perlu disiasat.

Ia terbukti menerusi pembentangan Laporan Pengurusan Kawalan Urus Tadbir Syarikat 1MDB di Dewan Rakyat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, termasuk siasatan yang dijalankan oleh polis yang bertepatan dengan saranan penasihat tertinggi negara.

“Intitusi diraja tidak perlu dipolitikkan, janganlah soal Majlis Raja-raja suruh siasat 1MDB, dah siasat apa. Majlis Raja-raja dari segi pentadbirannya memberi perhatian dari aspek itu, kerajaan sudah uruskan dengan sudah ada jawatankuasa, polis pun ada jawatankuasa Bank Negara pun ada, akhirnya mereka buat laporan yang dibentangkan di Kabinet dan Parlimen lepas tu dibentangkan kepada orang ramai,” tambahnya. – MalaysiaGazette