Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Seri Mohamad Hasan.

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk menghadapi pilihan raya kerana yakin sokongan rakyat kepada parti itu sentiasa kukuh.

Pengerusi BN merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu bersedia untuk bersaing dengan seterunya pada pilihan raya yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

“Jentera parti sudah bersiap-sedia termasuk daripada segi mental untuk menghadapi siapa saja calon yang akan mencabar BN.

“Lagi cepat lagi elok (bubar Parlimen). Kalau boleh buat sebelum Ramadan kerana selepas itu Parlimen akan terbubar sendiri. Saya harap ini tidak berlaku kerana nanti orang akan kata BN takut. Kita perlu ‘gentleman’ dan bersedia,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Unit Peladang dan Mini Karnival Peladang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Mohamad yang memaklumkan akan mempertahankan DUN Rantau dalam masa yang sama meminta pengundi di luar kawasan pulang mengundi dan memberi sokongan kepada BN negeri.

“Saya nak minta semua bantu saya gerakkan jentera di kawasan masing-masing supaya terus menyokong BN negeri dan kerajaan.

“Jangan dengar cakap orang (pembangkang) yang hanya sedap didengar tapi tidak boleh dibuat,” ujarnya. – MalaysiaGazette