Gambar ihsan laman web Petronas

KUALA LUMPUR – Petronas Carigali Sdn Bhd. telah menganugerahkan T7 Global Bhd., anak syarikat milik penuh Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd. satu umbrella contract bagi sebahagian daripada kerja baik pulih 600K unit hidraulik.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini, T7 berkata, kontrak selama tiga tahun berkuatkuasa 6 Februari 2018 itu akan tamat pada 5 Februari 2021.

Kontrak berkenaan menawarkan pilihan pelanjutan selama setahun.

“Harga bagi kontrak tersebut adalah mengikut kerja-kerja yang diminta oleh Petronas Carigali.

“Dengan itu, tiada sebarang nilai tetap bagi kontrak berkenaan.

“Tanjung Offshore Services atau T7 akan mendapatkan keizinan daripada Petronas Carigali sebelum membuat sebarang kenyataan kepada Bursa Malaysia berhubung jumlah arahan kerja di bawah kontrak tersebut yang telah diterima,” katanya.

Tambah syarikat itu lagi, kontrak tersebut adalah bersyarat iaitu selama Tanjung Offshore Services mengekalkan lesen sah dengan Petronas. – MalaysiaGazette