Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan beberapa wakil media sosial untuk mendapatkan pandangan dalam memperkenalkan Rang Undang-Undang mengenai berita palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi perbincangan membabitkan wakil penyedia platform media sosial seperti Asia Internet Coalition, Google, Facebook, Youtube dan Twitter di Parlimen semalam.

“Sesi perbincangan tersebut mendapat reaksi positif daripada para penyelia platform media sosial dan turut beserta dalam perbincangan ini ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Pertemuan ini penting bagi memastikan Rang Undang-Undang yang sedang digubal itu komprehensif merangkumi setiap aspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tindakan itu juga merupakan bukti kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, satu bengkel kendalian Jawatankuasa Khas mengenai berita palsu diadakan semalam.

“Bengkel itu diadakan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asian (AIAC) bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

“Seperti mana yang ditegaskan, asas utama Rang Undang-undang ini adalah bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Rang Undang-Undang ini juga akan melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa berita palsu.

“Saya percaya akta khas berita palsu ini menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita dan maklumat palsu daripada terus menular dan membarah di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette