KUALA LUMPUR – Industri aeroangkasa Malaysia dijangka berkembang lima peratus pada tahun ini dengan sektor pengeluaran aero menyumbang 54 peratus daripada keseluruhan perolehan industri.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tahun 2017 menjadi tahun cemerlang bagi Malaysia apabila eksport aeroangkasa mencatatkan peningkatan sebanyak 54 peratus kepada RM8.49 bilion berbanding 2016.

Ini disokong terutamanya dalam segmen alat ganti dan komponen.

“Kita mensasarkan industri berkembang sebanyak lima peratus tahun ini.

“Malaysia merancang untuk meningkatkan perolehan dan peluang pekerjaan daripada industri aeroangkasa kepada RM55 bilion dalam tempoh lima tahun berbanding RM13.5 bilion pada 2017 dengan peluang pekerjaan sebanyak 32,000 berbanding 23,000 di bawah Rangka Kerja Industri Aeroangkasa 2030,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis pecah tanah Subang Aerotech Park di Subang, Selangor hari ini.

Menurut Mustapa, kerajaan mensasarkan untuk menjadi hab pesawat turbo prop (kipas) sebagai tambahan kepada hab aeroangkasa di Asia Tenggara.

Tambah beliau, segmen penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) juga dijangka meneruskan perkembangan terutama berkaitan enjin dan komponen dengan perolehan disasarkan sebanyak RM6.5 bilion. – MalaysiaGazette