Home Ekonomi Jualan sektor pembuatan Januari RM67.8b

Jualan sektor pembuatan Januari RM67.8b

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan pada Januari 2018 terus mencatatkan peningkatan kukuh 10.8 peratus dengan nilai jualan RM67.8 bilion berbanding RM61.2 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.

Tahun ke tahun, peningkatan nilai jualan pada bulan Januari 2018 didorong oleh peningkatan dalam semua subsektor terutamanya kumpulan produk peralatan elektrik dan elektronik (14.3 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (10.9 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (8.1 peratus).

Ketiga-tiga subsektor ini menyumbang 80.2 peratus kepada nilai jualan sektor pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan.

Jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Januari 2018 adalah seramai 1,070,549 orang, meningkat sebanyak 2.5 peratus atau 26,203 orang berbanding 1,044,346 orang pada Januari 2017.

Jumlah gaji & upah yang dibayar meningkat sebanyak 13.3 peratus (RM439.7 juta) kepada RM3,740.0 juta, sekaligus mencatatkan purata gaji & upah setiap pekerja sebanyak RM3,494 pada Januari 2018.

Nilai jualan per pekerja meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada RM63,292 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette