Home Dunia AS sedia bertindak tamatkan serangan kimia di Syria

AS sedia bertindak tamatkan serangan kimia di Syria

Beberapa lelaki mendukung bayi di celah-celah bangunan yang musnah di Syria. foto BBC

NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) memberi amaran agar menamatkan serangan kimia yang banyak memberi kesan kepada kanak-kanak kecil, wanita dan orang awam yang tidak berdosa.

AS berkata, negara itu sudah bersedia untuk bertindak di Syria bagi menamatkan serangan kimia yang memberi penderitaan tidak berperikemanusian dan mendesak satu gencatan senjata selama 30 hari di Ghouta Timur.

Duta Besar AS ke PBB, Nikki Haley berkata,gencatan senjata yang di luluskan dua minggu lalu oleh Majlis Keselamatan PBB sebenarnya tidak efektif dan gagal.

“Kami sedia bertindak bagi menamatkan serangan kimia yang semakin hari semakin tidak berperikemanusian. Ramai mangsa awam terdiri daripada kanak-kanak tidak berdosa sehingga wanita dan warga emas menjadi mangsa kerakusan ini.

“Kita mohon satu resolusi baru gencatan senjata selama 30 hari di daerah pemberontak itu dan sekitar Damsyik bagi mengurangkan kemusnahan yang masih berlaku,” ujarnya dalam mesyuarat PBB.

Dua minggu lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan gencatan senjata selama 30 hari di Syria yang berkuat kuasa serta-merta semalam.

Keputusan itu dibuat bagi membolehkan bantuan perubatan dan bekalan asas disalurkan kepada penduduk di Timur Ghouta yang didakwa menjadi kubu kuat kumpulan militan.

Pasukan tentera kerajaan Syria dilaporkan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas pekan tersebut sejak seminggu lalu menyaksikan lebih 500 nyawa terkorban.

Sebelum itu, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, 14 penduduk awam sukar bernafas selepas pesawat juang rejim menyerang kampung Al-Shifuniyah di Ghouta Timur.

Ketua SOHR, Rami Abdel Rahman, seorang kanak-kanak maut dan seorang wanita berada dalam keadaan kritikal. – MalaysiaGazette