Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2018.

KULIM – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang yang mahu mengambil alih kerja keras Barisan Nasional (BN) yang menjaga hal kebajikan serta pembangunan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, seteru parti itu tidak akan mampu melaksanakan perkhidmatan terhadap rakyat malah akan hilang lima tahun selepas pilihan raya jika diberikan mandat kelak.

“Saya minta orang Kulim tolak mereka (pembangkang), jangan bagi sokongan kepada pembangkang, berilah sokongan kepada mereka yang beri perkhidmatan terbaik tanpa mengira musim.

“Musim buah (pilihan raya umum) sudah tiba, maka ‘kelawar’ dan ‘keluang’ akan mula datang untuk mengambil hasil tuaian yang diusahakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu merangkap Ketua UMNO Bahagian, Datuk Aziz Sheikh Fadzir, kerana beliau adalah pemilik kebun.

“Mereka, iaitu ‘kelawar’ dan ‘keluang’, hanya balik lima tahun sekali dan mahu mengambil semua hasil yang diusahakan,” katanya ketika berucap sempena majlis Hidup Tanpa Dadah Kulim/Bandar Bahru di Masjid Saidina Abu Bakar, Taman Kenari di sini.

Dalam pada itu menurut beliau sebanyak RM246 juta diperuntukkan bagi tujuh pembangunan dirancang di Kulim dan Bandar Baharu bagi memanfaatkan rakyat.

“Antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Kompleks Sukan Komuniti Bandar Baharu, projek Kedah Agro Sungai Seluang, pembinaan Unit Rawatan Rapi dan Dewan Bedah Hospital Kulim serta projek Pusat Pelupusan Sanitari di Padang Cina, Kulim.

“Saya juga meluluskan peruntukkan RM5 juta tambahan bagi masjid ini (Masjid Saidina Abu Bakar, Taman Kenari) bagi pelaksanaan projek dan program yang sudah dirancang pihak masjid,” katanya.

Beliau berkata, peruntukkan yang diluluskan adalah amanah dan tanggungjawab, begitu juga apabila dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Semua yang diberi bukanlah harta rampasan perang iaitu Ghanimah tetapi ia untuk disalurkan kepada rakyat, saya tidak bagi dedak dan saya bukanlah jenis yang beri dedak,” katanya.-Malaysiagazette