KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai peletakan jawatannya lebih kepada luahan kekecewaan baginda terhadap segelintir netizen yang kerap kali menyalahkan Presiden FAM setiap kali ranking dunia Harimau Malaya jatuh.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Tunku Ismail tidak perlu meletak jawatan sebagai Presiden FAM hanya kerana desakan segelintir netizen itu.
Beliau berkata banyak kejayaan dicipta Tunku Ismail sepanjang tempoh hampir setahun baginda bergelar Presiden FAM sejak 25 Mac 2017.
“Takkanlah kerana isu ranking, kita rela kehilangan seorang individu yang cukup berwibawa, begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.
“Saya sebenarnya berasa terkejut selepas membaca kenyataan Tunku Mahkota Johor yang menyatakan baginda harus meletak jawatan sebagai Presiden FAM susulan ranking skuad Harimau Malaya jatuh tiga anak tangga kepada kedudukan ke-178 dunia, petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.-BERNAMA