Presiden KL Fight, Sharifah Norazleenda Al-Khaired bercakap pada Sidang Media KL Fight 2018 di Muayfit Damansara Perdana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Mula berhijab sejak November tahun lalu, pelakon, Sharifah Norazleenda Al-Khaired atau lebih dikenali Lynn sama sekali tidak pernah meninggalkan sukan muaythai yang diceburi lima tahun lalu.

Malah bagi Lynn yang bakal menginjak usia 46 tahun, beliau percaya tiada masalah bagi wanita berhijab untuk menceburi sukan lasak yang popular dari Thailand itu.

Kata ibu kepada lima anak ini, beliau menggalakan semua wanita menceburi sukan muaythai dengan tujuan persediaan mempertahankan diri dalam mendepani zaman yang semakin maju namun penuh dengan insiden ragut dan buli.

Memahami kehendak semasa, Lynn yang juga pemilik kelab kecergasan muaythai iaitu MuayFit Damansara Perdana berkata, ketika ini terdapat instruktor wanita khas disediakan di kelabnya itu.

“Tiada masalah sebenarnya untuk wanita berhijab menceburi sukan muaythai. Hijab adalah penampilan muslimah dan boleh ceburi apa jua bidang pun.

“Dari segi adab dalam Islam, sukan yang melibatkan percampuran lelaki dan wanita tidak dibenarkan. Jadi sukan muaythai itu perlu melibatkan wanita sesama wanita dan begitu juga lelaki.

“Di Muayfit di sini, jika ada permintaan untuk wanita berhijab berlatih sesama mereka, kita akan sediakan pembahagi untuk memisahkan dari pandangan lelaki.

“Namun bagi yang tidak kisah, boleh berlatih secara terbuka dan instruktor wanita khas turut disediakan.

“Untuk seni mempertahankan diri, saya menggalakan wanita menceburi sukan muythai walaupun zaman semakin maju tapi kes ragut dan buli termasuk dalam rumah sering terjadi. Apatah Rasulullah saw menggalak beriadah untuk kecergasan fizikal,” katanya.

Presiden KL Fight, Sharifah Norazleenda Al-Khaired (tiga kiri) bersama Pemilik MuayFit Damansara Perdana, Faizul Alewi (tiga kanan) dan Pengurus Projek KL Fight, Danish Suresh (dua kiri) bercakap pada Sidang Media KL Fight 2018 di Muayfit Damansara Perdana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MAC 2018.

Lynn berkata demikian pada sidang media kejohanan muaythai terbesar iaitu KL Fight di sini semalam.

Beliau merupakan Presiden KL Fight yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 5 Mei depan.

Mengulas lanjut, Lynn berkongsi pengalaman menceburi sukan muaythai itu selepas 100 hari melahirkan anak kelima secara pembedahan.

Beliau yang sebelum ini memiliki pusat gimnasium berkata, selepas mendapat nasihat doktor, kakak kepada pelakon Sharifah Shahirah dan Sharifah Sakinah itu pergi menuntut ilmu di Phuket, Thailand selama lima untuk mendapat sijil pertauliahan dalam sukan tersebut.

“Sukan muaythai memang memberi kesan untuk menurunkan berat badan dengan cepat kerana ia melibatkan senaman kardio.

“Yang penting kena rajin dengan kekerapan berlatih antara tiga hingga empat kali seminggu dengan satu sesi hanya mengambil masa 45 minit.

“Selain itu, banyak minum air kosong dan minum secawan kopi panas tanpa gula sebelum memulakan latihan kerana ia mampu menggalakan kadar metabolisme,” katanya yang kali terakhir berlakon tiga tahun lalu.

Presiden KL Fight, Sharifah Norazleenda Al-Khaired membuat aksi Muay Thai pada Sidang Media KL Fight 2018 di Muayfit Damansara Perdana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MAC 2018.

Sementara itu, KL Fight dianjurkan bersama Muayfit dan Raja Boxing yang bakal dicatatkan dalam Malaysia Book Of Record dengan sasaran seramai 10,000 pengunjung.

Acara berbentuk kebajikan itu turut mendapat sokongan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican.

KL Fight turut diserikan atlet muaythai legenda Thailand, Saenchai yang terkenal di seluruh dunia dalam sukan tersebut.

Tiket berharga RM15 akan mula dijual pada 19 Mac ini menerusi rakan jualan tiket, PouchNATION.

Maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web www.klfight.asia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast