KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng diminta supaya menjelaskan gambar beliau bersama ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, G. Gnanaraja di kediamannya yang tular di media sosial sejak awal Mac ini.
Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang perlu tampil ke hadapan menjelaskan bila dan kenapa gambarnya bersama individu berusia 37 tahun itu itu diambil.
Seperti diketahui umum, suspek telah ditahan dan direman pada 27 Februari lalu oleh SPRM kerana disyaki menerima rasuah RM19 juta kononnya bagi mempengaruhi penutupan kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang sebelum dibenarkan jamin RM150,000.
“Dia (Nganaraja) juga pernah terlibat penipuan skim pelaburan mata wang asing melibatkan mangsa ratusan orang dalam kalangan masyarakat India.
“Ramai individu yang mengenali suspek memberitahu saya bahawa foto Ketua Menteri Pulau Pinang itu diambil bersama suspek di rumah peribadi suspek itu.
“Parti DAP dan Guan Eng bertanggungjawab menjelaskan kepada komuniti India mengenai hubungan DAP dan dia dengan suspek yang mengkhianati komuniti India,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam isu berkaitan, Vell Paari mahu Ahli Parlimen Bagan itu bersikap telus dan menceritakan perkara sebenar kenapa dan bila beliau melawat ke rumah suspek.
“Saya dan hampir seluruh komuniti India terkilan dan meragui Guan Eng sambil tercetus persoalan apa urusan yang wujud antara dia dan suspek rasuah SPRM yang dijamin dengan RM150,000 buat masa ini.
“Kalau foto itu bukan daripada rumah suspek berkenaan seperti yang saya dan komuniti India ragui, Guan Eng dan DAP dialu-alukan untuk saman saya tanpa membuang masa,” tegasnya.- MalaysiaGazette