Ooi Chin Leng didakwa atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada 12 tahun lalu di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Selepas 12 tahun menjadi buruan polis, pekerja aksesori kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki.

Tertuduh, Ooi Chin Leng, 38, hanya menjawab faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama-bersama seorang yang masih bebas didakwa membunuh Fouzi Hussen, 24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua di sini, jam 5.25 pagi pada 24 Januari 2013.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Ketika prosiding Nurameera tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh selain memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi mendapatkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh susulan pendakwaan terhadapnya merupakan kes lama dan tertuduh baru ditangkap.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk mendapatkan profiling DNA tertuduh.

Media pada 24 Januari 2013 melaporkan seorang pengawal kelab malam atau bouncer maut selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mangsa seorang lelaki tempatan ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada jam 5.25 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu bermula dengan perbincangan berhubung perniagaan antara mangsa dan beberapa lelaki berkenaan sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan apabila gagal mencapai kata sepakat.

“Mangsa dan suspek berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol ketika pergaduhan itu berlaku dan pihak polis turut menemui beberapa botol arak di tempat kejadian.

“Siasatan juga mendapati salah seorang daripada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu merupakan perancang utama kejadian berkenaan dan polis turut menemui kelongsong peluru di tempat kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast