Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR  – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Puchong dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superitendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat itu, anggota polis bertugas telah digegaskan ke lokasi kejadian bagi pengesahan maklumat dan bantuan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan warga tempatan ditemui dalam keadaan terlentang atas lantai tingkat lima bangunan itu.

“Siasatan mendapati insiden berlaku di rumah pengasuhnya dan mangsa dipercayai memanjat tingkap yang tidak berpagar dengan menggunakan kerusi yang berada di situ sebelum terjatuh.

“Difahamkan ketika kejadian itu, ibu mangsa sedang menjaga seorang lagi anaknya yang sedang dikuarantin manakala bapa mangsa keluar bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Fairus, susulan kejadian itu pegawai perubatan yang hadir  mengesahkan kematian mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Setakat ini, kita telah merakam keterangan individu melibatkan pengasuh mangsa untuk membantu siasatan dan kertas siastan akan dilengkapkan segera sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” jelasnya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast