REMBAU – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau yang disandangnya sejak tiga penggal lalu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Mohamad yang juga Ketua Umno Rembau berkata, kerusi Parlimen Rembau pula akan dipertahankan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
“Untuk Parlimen Rembau, saya kekalkan apa yang ada…itu sebab saya kata saya di (Dun) Rantau dan KJ (Khairy) di Rembau. Kita serahkan lima nama tapi saya rasa sebagai ketua bahagian kita nak pastikan supaya penyandang ini kita kekalkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program sukan rakyat anjuran Jawatankuasa Penduduk Taman Kelab Tuanku Mambau di sini, hari ini.
Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkata, beliau mahu mempertahankan Dun Rantau bagi memastikan segala rancangan pembangunan Negeri Sembilan dapat diteruskan.
“Itu sebabnya saya minta supaya rakyat membuat pilihan yang tepat semasa PRU14 nanti supaya rancangan-rancangan jangka panjang 30 tahun sampai 2045 iaitu untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat ini akan dapat kita terjemahkan dan dapat kita laksanakan yang terbaik mungkin,” katanya.
Pada PRU lalu, Barisan Nasional menguasai kerusi Parlimen Rembau dan empat Dunnya – Rantau, Chembong, Paroi dan Kota.
Dalam pertandingan satu lawan satu di Dun Rantau, Mohamad menang dengan majoriti 4,613 undi menewaskan Aisah Lamsah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala di Parlimen Rembau, Khairy pula meraih majoriti 18,357 undi dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan Radzali A. Ghani (PKR) dan Abdul Aziz Hassan (Bebas). – MalaysiaGazette