Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, UMNO tidak boleh lagi mengamalkan konsep kepimpinan mereka yang menang menerajui parti dan yang kalah lari meninggalkan parti.
Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, UMNO tidak boleh lagi mengamalkan konsep kepimpinan mereka yang menang menerajui parti dan yang kalah lari meninggalkan parti.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa ,Datuk Seri Johari Abdul Ghani berjanji akan menawarkan khidmat tanpa berbelah bagi kepada pengundi di kawasan itu jika sekali lagi dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, sebagai anak jati Titiwangsa, pusat khidmat Parlimen tersebut sentiasa terbuka setiap hari kepada penduduk dalam masa yang sama Menteri Kewangan II itu memberi jaminan akan berada di pejabatnya setiap hari Jumaat.

“Saya tidak pernah janji sebelum ini, tapi kini saya janji kalau saya diberi peluang bertanding lagi saya pastikan tuan dan puan terus dapat khdimat saya. Tuan dan puan boleh datang ke pusat khidmat saya tiap Jumaat akan ada pegawai akan ada, tiap hujung minggu saya turun ke kawasan,”katanya ketika berucap di Siri Jelajah Sebenarnya.my di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa hari ini.

Johari menasihatkan pengundi Titiwangsa memilih wakil rakyat yang tepat pada pilihan raya yang akan datang dan tidak terpengaruh dengan janji kosong parti pembangkang yang pada akhirnya tidak mampu memberi khidmat yang terbaik.

Tambah beliau, berdasarkan prestasi parti pembangkang yang pernah berjaya merampas Titiwangsa daripada Barisan Nasional (BN), sudah tentu pengundi tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ apabila wakil rakyat yang dipilih gagal memberikan khidmat dan menjaga kebajikan penduduk di situ.

“Apabila pilihan raya tuan dan puan yang tinggal di PPR mempunyai hak untuk memilih pemimpin,tidak ada siapa boleh paksa untuk memilih pemimpin untuk lima tahun akan datang.

“Tetapi saya nak pesan bila tiba pilihan raya tuan dan puan akan lihat ramai pemimpin yang datang dari pelbagai parti datang berjumpa tuan berceramah dengan tuan dan puan meminta tuan dan puan memilih mereka.

“Apabila kita pilih pemimpin biarlah kita pilih yang boleh jumpa selalu yang boleh lihat batang hidung selalu, jangan pilih yang nak pilihan raya baru boleh jumpa kerana saya tahu pilihan raya pada 2008 kita terpengaruh apabila orang janji kita macam-macam akhirnya habuk pun tak dak,” ujarnya lagi.

Untuk rekod pada PRU 2008, calon BN Datuk Aziz Jamaluddin Md Tahir kalah kepada calon PAS, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali dengan majoriti 1,760 undi.

Bagaimanapun pada PRU13, BN kembali merampas Parlimen itu apabila Johari menewaskan calon PAS Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dengan majoriti 866 undi.-MalaysiaGazette