KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini berkata tiada sebarang mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr. Nor Akma Yusuf, kebakaran hanya berlaku di bahagian stor bahagian terbabit dan ia berjaya dipadamkan pihak bomba.

“Pengungsian atau evakuasi pesakit, kakitangan dan pelawat dari bangunan berdekatan telah dijalankan mengikut prosedur. Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Perkhidmatan di Hospital Kuala Lumpur tidak terganggu dan adalah berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kira-kira jam 12.30 tengahari tadi, (IPFN) yang terletak di HKL didapati terbakar dan empat jentera pemadan api dikejarkan ke kawasan terbabit.

Ia terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Chow Kit, BPP Hang Tuah, BPP Setapak dan BPP Jalan Tun Razak.

Sehingga kini, pihak bomba dan penyelamat Malaysia sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran. -MalaysiaGazette.