Home Utama Laporan polis terhadap Mazlan Aliman oleh isteri PM

Laporan polis terhadap Mazlan Aliman oleh isteri PM

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman kerana memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor baru-baru ini.

 

Seorang peguam, NoorHajran Mohd Noor berkata, beliau telah diarahkan membuat laporan polis untuk tindakan susulan berikutan penyebaran sebuah video bertajuk ‘Mazlan Aliman Amanah-Pecah Rahsia: Isteri Njaib Razak di belakang projek ikan Sturgeon yang lingkup’.

NoorHajran Mohd Noor

 

NoorHajran dalam satu kenyataan berkata, video tersebut yang dimuat naik dalam laman sosial pada 7 Mac lepas dengan pemilik akuan ‘Cap Kapak’ secara terang-terangan membuat fitnah terhadap Rosmah dengan niat mencemarkan nama serta integritinya sebagai orang kenamaan.

 

“Video yang memaparkan ucapan Pengerusi ANAK merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Amanah Negara (PAN), Mazlan secara terangnya telah menuduh Datin Rosmah Mansor terlibat dalam beberapa projek pelaburan yang dirancang dan dilaksanakan oleh FELDA termasuk projek penternakan ikan Sturgeon.

 

“Mazlan membuat fitnah dan sebaran maklumat tidak benar berdasarkan maklumat seorang pegawai FELDA tanpa bukti serta asas yang kukuh. Tuduhan ini juga mampu menjejaskan nama baik, reputasi serta integriti Datin Rosmah,” katanya.

 

Tambah NoorHajran, pihaknya akan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan megambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap induvidu terlibat dalam perkara ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette