Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Seramai 306,780 individu telah berdaftar sebagai pemandu e-hailing di Semenanjung Malaysia mewakili semua penyedia perkhidmatan seperti UBER, GrabCar, Zepp On dan pelbagai lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan pada masa yang sama sedang melaksanakan program pendaftaran pemandu seksi berhijrah kepada khidmat e-hailing secara berterusan.

“Saya tidak mempunyai bilangan sebenar pemandu teksi yang telah berhijrah kepada e-hailing di sini.

“Dua hari lepas, saya telah berikan permit individu kepada pemandu teksi yang berhijrah kepada e-hailing daripada pemanduan secara pajakan selama ini.

“Oleh kerana proses pendaftaran pemandu e-hailing satu proses berterusan, kami menggalakkan lebih ramai.

“Dalam hal ini, kami juga mendapati ramai dalam kalangan pemandu teksi masih belum memahami sepenuhnya mengenai e-hailing dan manfaatnya,” kata beliau semasa Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah Nancy, kerajaan komited untuk memastikan pemandu yang berdaftar dalam e-hailing bermanfaat sejajar dengan perkembangan teknologi pengangkutan yang ada.

Katanya, ramai pemandu teksi mengadu pendapatan mereka trjejas ekoran daripada kemunculan khidmat aplikasi talian seperti Uber, GrabCar dan sebagainya.

“Jadi kita memberi peluang mereka berhijrah sebagai pemandu individu yang berdaftar dengan e-hailing.

“Pemandu teksi apabila mendaftar dengan e-hailing akan bermanfaat menerusi dua cara iaitu boleh mengambil penumpang di atas jalanan dan keduanya boleh mengikut mana-mana syarikat Uber, Grab dan sebagainya.

“Kita kerajaan sangat serius dan bertanggungjawab untuk memastikan pemandu teksi dan yang berdaftar dengan e-hailing melihat pendapatan mereka dengan memberikan geran RM5,000 untuk melakukan peralihan itu,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, menjawab kepada soalan Ahli Parlimen Langkawi mengenai situasi 1,350 pemandu teksi yang beroperasi di pulau pelancongan itu, Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata; “Saya sendiri telah turun padang dan sentiasa berbincang supaya mereka bermanfaat semasa musim pelancongan.

“Oleh kerana mereka dilihat bermanfaat dengan pendapatan mengikut musim pelancongan sahaja, saya sudah bincang dengan mereka supaya tidak mengenepikan e-hailing dan menerima sebagai rakan kongsi.

“Saya juga telah meminta Uber dan Grab hentikan segera pendaftaran pemandu menerusi e-hailing dan mereka menurut perintah kerajaan, manakala pemandu teksi (Langkawi) diminta dijadikan duta khas mempromosikan pelancongan,” katanya. – MalaysiaGazette