Home Nasional Bandar Moden Sendayan kawasan ‘sakit’ yang berjaya dipulihkan

Bandar Moden Sendayan kawasan ‘sakit’ yang berjaya dipulihkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar penerangan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga kanan) mengenai pembangunan pangkalan sambil diperhatikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (empat kanan) ketika mengadakan lawatan di Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan. Gambar arkib MalaysiaGazette

SEREMBAN – Sendayan, sebuah kawasan arah selatan ibu negara kini muncul sebagai bandar baharu yang maju dan moden, menjadikannya pusat pertumbuhan pembangunan baharu strategik Negeri Sembilan.

Jika 15 tahun dahulu, kawasan itu adalah sebuah rancangan tanah Felda dan merupakan kawasan ‘sakit’ akibat kemelut perjanjian penjualan tanah antara peneroka dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), kini ia diiktiraf Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sebuah bandar satelit kepada Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Terletak 12km dari Seremban, Felda Sendayan yang dibuka pada 1963 bertukar status pada 1986 menjadi kampung tradisi dengan nama Kampung Sendayan yang kemudiannya ditukar nama kepada Bandar Sri Sendayan, menjadi sebuah pusat pembangunan baharu yang lebih tersusun yang mengambil kira soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Sendayan,yang dihuni kira-kira 40,000 orang kini menjadi mercu tanda kawasan perumahan moden dan perindustrian dengan limpahan pembangunan yang rancak Negeri Sembilan.

“Sendayan itu kami jadikan daripada sebuah kawasan yang bermasalah kepada kawasan yang memberikan kebaikan. Dahulu, 15 tahun isu kemelut tanah tak selesai-selesai. Jadi kami buat satu pelan tindakan untuk kawasan itu dan alhamdulillah pembangunan yang berfasa-fasa mengikut apa yang kami rancang.

“Sendayan sekarang ini berada di tengah-tengah kawasan pembangunan yang lebih besar iaitu MVV (Malaysian Vision Valley). Jadi Sendayan kini kami urus dan bangunkan mengambil kira kesejahteraan rakyat,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama di sini.

Fasa kedua Sendayan, kata Mohamad akan dibangunkan sebagai kawasan perniagaan yang merangsang pelbagai pertumbuhan ekonomi setempat serta kemudahan asas lain termasuk perkhidmatan kesihatan yang akan diwujudkan di kawasan itu kelak.

“Sendayan fasa kedua ini nanti akan tumbuh dengan apa yang dipanggil sebagai kawasan pembangunan perniagaan, yang akan ada berbagai-bagai kemudahan pembangunan pembandaran.

Beliau berkata kelulusan untuk membangunkan sebuah hospital swasta dengan 450 katil juga telah diperoleh bagi kemudahan rakyat yang tinggal berhampiran.

“Ini merupakan satu pembangunan yang mengambil kira kesejahteraan rakyat bukan saja di Sendayan tetapi di Negeri Sembilan dengan Sendayan menjadi peneraju,” katanya.

Bandar Sri Sendayan yang berkeluasan 2,023 hektar, kini membangun amat pesat dengan pelbagai projek hartanah termasuk rumah mampu milik disediakan oleh pemaju hartanah seperti Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) bagi memenuhi permintaan rakyat di negeri ini serta orang luar.

Selain itu, kawasan itu turut menempatkan Pangkalan Udara (PU) Sendayan, pusat latihan profesional terbesar negara untuk pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dibangunkan di kawasan seluas 303.5 hektar menggantikan PU Kuala Lumpur di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Bandar Sri Sendayan, yang berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai (MPN) juga merupakan antara lokasi strategik kediaman bagi masyarakat di Negeri Sembilan termasuk orang luar yang bekerja di Kuala Lumpur.

Selain kediaman, kawasan itu juga membangun sebagai pusat komersial yang baharu bagi melengkapi Seremban serta pelbagai institusi pendidikan tinggi serta kawasan perindustrian.

16 Mac lepas, Perdana Menteri ketika merasmikan PU Sendayan berkata Bandar Sri Sendayan muncul antara bandar yang sangat hebat dan ia sudah pun menjadi kenyataan.

Kata Najib, bandar itu akan menjadi bandar satelit kepada Kuala Lumpur dan Lembah Klang dengan penghuni di kawasan itu akan dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik daripada tinggal di tengah bandar.

“Permintaan untuk menjadi penghuni dan pemilik di Bandar Baru Sendayan akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi. Saya ucap tahniah kepada Menteri Besar kerana dapat merancang pembangunan yang amat berpotensi,” kata perdana menteri.

Ia merupakan kunjungan kali kedua perdana menteri ke PU Sendayan selepas yang pertama kalinya pada 13 April tahun lepas. – MalaysiaGazette