Isham Abdul Jalil

KUALA LUMPUR – Spekulasi siapa calon Menteri Besar kini kembali bertiup kencang walaupun ketetapan itu tidak akan diputuskan sehingga Barisan Nasional (BN) berjaya menawan Selangor.

Kali ini nama pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon Menteri Besar.

Isham dikatakan akan diletakkan di kerusi N38 Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Susulan perkembangan terbaru ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, Isham merupakan individu paling layak untuk menggalas tugas penting itu.

“Beliau memang selayaknya dan terbaik untuk calon Menteri Besar Selangor.

“Saya akan memberikan sokong tanpa belah-bahagi,” katanya yang dimuat naik dalam grup aplikasi Whatsapp semalam.

Beliau mengulas laporan portal Malaysiakini pada Sabtu mendedahkan pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak dinamakan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Isham juga didakwa akan berentap dengan penyandang kerusi N38 dari Pas  Mohd Khairuddin Othman yang mengalahkan calon BN, Muhammad Bushro Mat Johor dengan majoriti 5,522 undi pada PRU13 lalu.

Kelayakan Isham selaku graduan Universiti Harvard antara ciri-ciri yang dikenal pasti memberi kelebihan kepada bertanding di Selangor dan menyaingi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Paya Jaras menjadi DUN pilihan BN kerana kerusi N38 itu terletak dalam kawasan Parlimen Subang dan mempunyai seramai 43,617 pengundi di mana 57 peratus daripadanya adalah Melayu, Cina-30 peratus, India-11 peratus dan lain-lain dua peratus.

Desas-desus itu juga akan meresahkan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma yang sebelum ini sedia bertanding di kawasan itu sekiranya Parlimen Subang tidak terlibat dengan persempadanan semula. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.