KUALA LUMPUR – Menjejakkan kaki kembali Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) di Jalan Keramat Hujung semalam mengimbau kembali peristiwa tragis mengorbankan 21 pelajar dan wardennya tahun lepas.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati suasana tahfiz itu kini sunyi dan sudah macam bangunan tinggal namun kisahnya masih ‘melekat’ tebal dalam hati kita – lebih-lebih lagi ia berpunca daripada perbuatan khianat sesama remaja.

Ekoran kejadian ini pelbagai pihak mempertikaikan aspek keselamatan pusat tahfiz di seluruh negara, lebih buruk didapati asrama yang dihuni pelajar hanya mempunyai satu pintu keluar dan masuk sahaja.

Ia mengakibatkan mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri selain tingkap yang tidak boleh dibuka.

Menurut salah seorang penduduk, selepas kejadian tempat itu tidak lagi dihuni oleh pelajar dan mereka kini berada di sebuah pusat tahfiz di Cheras.

Ini kerana menurut Nur Hayati Abdul Halim, 48, bangunan asal pusat itu yang berada di Jalan Pawang masih belum selesai diubah suai sepenuhnya.

Nur Hayati

“Apa yang kami penduduk sini tahu, pelajar-pelajar itu sekarang tinggal di pusat tahfiz di Cheras, sebab bangunan asalnya tu tak siap ubah suai lagi.

“Yang di sini memang kosong daripada kejadian mereka tidak duduk,” katanya yang tinggal di Keramat sejak 15 tahun lalu.

Apa pun setiap musibah sudah pasti ada hikmahnya.

Insiden di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mencetuskan kesedaran kepada semua pihak malah bertitik tolak daripada itu kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi penambahbaikan pusat tahfiz.

Peruntukan disalurkan menerusi bajet selain soal keselamatan pelbagai inisiatif juga dicari  bagi memastikan soal pendidikan tahfiz dipertingkatkan di seluruh negara.

Malah ada juga pandangan pusat-pusat tahfiz seluruh negara perlu mendaftarkan sekolah pondok mereka kepada Kementerian Pendidikan.

Satu lagi, keadaan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Pawang di Keramat Hujung yang jalan masuknya sempit dan terhimpit dek rumah-rumah lot penduduk juga wajar perlu diambilkira dan jangan lagi ada pihak berkuasa tempatan meluluskan perkara seumpama itu dikemudian hari.

Mewakili penduduk di situ, Nur Hayati juga berharap bangunan asal itu akan diubahsuai mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengelakkan sejarah yang meragut nyawa berulang.

“Saya berharap, bukan saya sahajalah, saya rasa seluruh penduduk di sini, bangunan yang asal di atas tu kalau diubah suai pun pertimbangkanlah banyak aspek sebab situ sempit, kawasan jalan mati pulak tu,” katanya lagi.

Selain pengajaran,  insiden kebakaran tahfiz di Keramat itu juga mencetuskan persoalan utama yang perlu ditangani iaitu  masalah sosial dalam kalangan remaja.

Membiarkan anak remaja berpeleseran, tidak sekolah dan bebas nampaknya bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman tetapi lebih kronik di kawasan pinggir ibu kota.

Moga insiden dan ibrah daripada apa yang berlaku sama-sama ‘membuka mata’ kita.-MalaysiaGazette

Tragedi Pusat Tahfiz Terbakar [VIDEO]