Home Utama Perbicaraan kes rasuah Guan Eng bermula, tarik perhatian banyak pihak

Perbicaraan kes rasuah Guan Eng bermula, tarik perhatian banyak pihak

Orang ramai mula berkumpul di perkarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mengikuti perbicaraan kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng.

PULAU PINANG – Perbicaraan hari pertama kes rasuah Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini menarik perhatian banyak pihak selepas kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini pagi ini.

Majoriti mereka merupakan ahli DAP yang hadir bagi memberi sokongan kepada Setiausaha Agung DAP berkenaan selain terdapat kumpulan yang mendesak supaya perbicaraan itu diteruskan tanpa sebarang usaha ditangguhkan.

Selain itu, lebih 50 petugas media termasuk portal berita dan agensi berita luar negara turut membuat liputan kes perbicaraan berprofil tinggi membabitkan Guan Eng serta seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan perbicaraan Guan Eng dan Li Koon akan berlangsung selama 23 hari bermula hari ini sehingga 25 Mei ini.

Tarikh itu ditetapkan pada 26 Mac – 30 Mac; 9 April – 12 April; 23 April – 27 April; 7 Mei – 10 Mei, dan 21 Mei – 25 Mei.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan menyatakan akan mengemukakan 40 saksi sepanjang tempoh perbicaraan.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu. – MalaysiaGazette