METMalaysia menyifatkan cuaca dingin di enam negeri bersifat sementara.

KUALA LUMPUR – Ekoran tempoh peralihan monsun yang dijangka bermula hari ini, orang ramai dinasihatkan untuk peka terhadap ramalan cuaca.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) berkata, fasa peralihan monsun itu akan berterusan sehingga pertengahan Mei tahun ini sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang akan membawa hujan lebat.

“Dalam tempoh ini, kawasan serantau negara akan mengalami tiupan angin daripada pelbagai hala dengan kelajuan yang rendah.

“Keadaan cuaca yang lazim semasa tempoh itu ialah hujan lebat, ribut petir dan angin kencang terutamanya pada waktu petang dan awal malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Cuaca seperti itu akan kerap di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

Katanya, ribut petir kuat yang disertai hujan lebat dan angin kencang itu boleh menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh. -MalaysiaGazette