BNM

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan ekonomi negara bakal berkembang sekitar 5.5 peratus sehingga 6.0 peratus tahun ini selepas merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun lepas didorong oleh permintaan domestik terutamanya sektor perkhidmatan.

Eksport kasar dijangka berkembang 8.4 peratus manakala import kasar bakal tumbuh 8.6 peratus.

Secara keseluruhannya, baki akaun semasa dijangka merekodkan lebihan dua hingga tiga peratus pendapatan kasar negara (GNI).

Bagaimanapun menurut BNM, perbelanjaan sektor awam dijangka menyusut didorong oleh penguncupan pelaburan kerajaan di sebalik pertumbuhan sederhana penggunaan awam.

Kadar inflasi diramal sederhana di antara dua hingga tiga peratus pada 2018 berbanding 3.7 peratus pada 2017 disebabkan terutamanya oleh sumbangan kecil daripada harga tenaga dan komoditi global.

Kadar tukaran matawang asing yang semakin mengukuh turut mengurangkan kos import.

Tekanan inflasi daripada faktor permintaan domestik akan dibendung dengan memperbaiki produktiviti buruh dan meluaskan kapasiti pelaburan.

Tambah BNM, Jawatankuasa Dasar Monetari akan memantau rapat tinjauan hadapan ekonomi termasuk impak ke atas peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata peratusan kepada 3.25 peratus.

Bersandarkan kepada pertumbuhan yang memberangsangkan, bank pusat itu percaya defisit fiskal boleh dikurangkan kepada 2.8 peratus berbanding tiga peratus pada 2017.-MalaysiaGazette