Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin
Hamidin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin dilihat sebagai calon yang sesuai untuk menduduki kerusi nombor satu FAM yang kini kosong ekoran peletakan jawatan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak Ahad lalu.

Ianya diakui sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan Hamidin adalah individu yang paling layak kerana lebih berpengalaman di pentas bola sepak antarabangsa.

“Saya nampak beliau (Hamidin) layak dan berpengalaman serta mempunyai jaringan yang baik dalam dunia bola sepak. Ini secara peribadi tetapi terpulang kepada anggota gabungan FAM termasuk persatuan bola sepak negeri untuk memilih.

“Presiden FAM dipilih melalui pemilihan. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri juga layak dan terpulang kepada anggota gabungan. Tetapi untuk menjadi presiden FAM, harus ada pengalaman di peringkat kebangsaan, negeri dan antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Selain Khairy, Tunku Ismail turut mengatakan Hamidin adalah individu paling layak menerajui FAM bagi menggantikan tempat baginda.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Hamidin juga mempunyai pengalaman dalam aspek pengurusan ketika menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor.

“Saya sarankan FAM adakan pemilihan secepat mungkin kerana kita tidak mahu tempoh ketiadaan presiden itu dalam waktu yang lama. Mungkin yang ada sekarang boleh menjalankan tugas… tetapi saya harap soal kepimpinan sukan nombor satu di Malaysia ini dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.

Minggu lalu, peminat bola sepak tanah air hari ini dikejutkan dengan pengumuman Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sah melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM.

TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menunjukkan surat peletakan jawatannya pada sidang media selepas Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru.

Walau bagaimanapun, TMJ masih kekal sebagai pengerusi FMLLP yang ditukar nama kepada Malaysia Football League (MFL). – MalaysiaGazette