Nurul Hidayah (dua dari kanan) bersama Mahadi (empat dari kanan) bersama usahawan desa Bagan Datuk selepas ProgramProgram Satu Keluarga Satu Usahawan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pendapatan kira-kira 90 peratus daripada usahawan yang pernah mengikuti Program Satu Keluarga Satu Usahawan (1KiU) berjaya menambahkan pendapatan mereka.

Presiden Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya, Datuk Mahadi BZ berkata, pendapatan mereka rata-rata 20 usahawan perintis itu meningkat sebanyak 50 peratus selepas tiga bulan.

“Kita bantu mereka dengan beri pancing bukan ikan,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penutup 1KiU 2.0 kepada usahawa Bagan Datuk di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Penaung Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid.

Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya merupakan sebuah NGO yang diberi kepercayaan melatih usahawan desa dan golongan B40 meningkatkan kerjaya dalam bidang usahawan.

Ia selaras dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu sekurang-kurangnya seorang usahawan dilahirkan dalam setiap keluarga di negara ini menjelang tahun 2020.

Menurut Mahadi, usahawan yang dilatih pihaknya akan dipantau sepanjang enam bulan.

Sementara itu, menurut Nurul Hidayah, dalam program kali ini pihaknya turun padang ke Bagan Datuk mengenalpasti usahawan yang mahu digilap dan memberi mereka pendedahan kepada bidang jualan online.

Pada majlis itu, seramai 20 peserta dalam kalangan belia dan usahawan kecil-kecilan dari Bagan Datuk menamatkan kursus teknik perniagaan Online yang berlangsung selama empat hari.-MalaysiaGazette