Perdana Menteri merangkap Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar kenangan bersama barisan tertinggi parti komponen Barisan Nasional pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Barisan Nasional Negeri Selangor di Dataran Kampung Sungai Chik, Ulu Yam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2018.

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal menjadi penentu kepada Selangor sama ada kekal milik Pakatan Harapan (PH) atau ‘dirampas’ oleh Barisan Nasional (BN).

Kalau masuk tiga penggal dikuasai pembangkang Selangor bakal senasib Kelantan yang tetap kekal milik pembangkang selama beberapa penggal sekiranya tahap kepercayaan pengundi terhadap BN masih gagal dipulihkan dan faktor sabotaj dalaman parti gagal ditangani segera.

Selain tsunami Cina khususnya di kawasan bandar, faktor sabotaj dalaman kerana perebutan menjadi calon pilihan raya menjadi ancaman utama BN bermula PRU-12 lagi.

Jika dilihat kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada PRU-12, BN memperoleh 20 kerusi berbanding 12 kerusi dalam PRU13 mencerminkan sabotaj dalaman dan tsunami Cina gagal ketika itu yang gagal ditangani dengan berkesan oleh pucuk pimpinan.

Kesemua 12 kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRU-13 pula tidak semuanya mempunyai majoriti besar kerana lima (5) daripada kerusi DUN itu bagaikan ‘telur di hujung tanduk’ apabila ia dikategorikan sebagai marginal iaitu majoiriti di bawah 2,000 undi.

Antara kerusi DUN Selangor dikategorikan sebagai marginal milik BN itu ialah DUN Sungai Air Tawar (1,416), Bukit Melawati (806), Kuang (1,255), Permatang (1,026) dan Kota Damansara (1,527).

Perdana Menteri merangkap Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar (kiri) serta barisan tertinggi parti komponen Barisan Nasional yang lain mengibarkan bendera BN pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Barisan Nasional Negeri Selangor di Dataran Kampung Sungai Chik, Ulu Yam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2018.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat (PR) sebelum ia dibubarkan pada 16 Jun 2016 turut mempunyai tujuh (7) kerusi marginal yang boleh dirampas semula BN pada PRU-14 sekiranya faktor sabotaj dalaman parti dalam BN berterusan.

Malah penubuhan Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan PR yang dianggotai PKR, PAN, DAP dan PPBM bermula dengan prestasi ‘corot’ menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016.

Penambahan majoriti mendadak boleh dilihat dalam PRK Parlimen Sungai Besar apabila calon BN menerusi Budiman Mohd. Zohdi berjaya melonjak kemenangan besar dengan majoriti 9,191 undi berbanding 399 undi pada PRU-13.

Meskipun PRK tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada PRU-14 namun ia membuktikan kehadiran PH melalui PAN tidak disenangi pengundi – lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar di mana majoriti pengundinya adalah Melayu.

Kemenangan besar Parlimen Sungai Besar itu juga melonjakkan prestasi BN di Selangor kerana jentera BN Sungai Besar yang diterajui Datuk Seri Jamal Md. Yunos berjaya ‘memujuk’ 6,000 ahli UMNO tidak keluar mengundi pada PRU-13 kembali memberi undi.

Namun rekod prestasi BN Sungai Besar tidak memadai untuk menawan semula Selangor tanpa kerjasama semua bahagian lain di negeri itu memandang semangat untuk menang itu tidak dirasai meskipun PRU-14 semakin hampir.

Masih tidak terlambat jika BN Selangor untuk menggerakkan semua jenteranya turun padang menyantuni pengundi, khususnya di luar bandar tanpa perlu menunggu tarikh pembubaran Parlimen dan PRU-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bak kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa wang bukan faktor kemenangan BN di Selangor pada PRU-14, sebaliknya semangat menebus maruah akibat kekalahan sejak dua penggal lalu menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette