ALOR GAJAH – Kerana takut dicekup berkhalwat bersama kekasihnya, seorang lelaki sanggup memecut kereta dipandunya sehingga terjunam ke tebing sungai di Paya Lebar, Masjid Tanah di sini malam tadi.
Lebih tragis, lelaki itu kemudian terjun ke sungai dan berenang menyelamatkan diri ke seberang meninggalkan teman wanitanya di dalam kereta jenis Perodua Myvi itu sebelum diselamatkan polis dalam kejadian kira-kira 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku apabila pemandu elaki berusia 30 tahun itu bertindak memecut kereta selepas berselisih dengan kereta peronda polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah.
“Suspek dikejar sejauh kira-kira 14 kilometer sebelum kereta terbabas ke dalam sungai di Paya Lebar dan pemandunya terus melarikan diri dengan berenang ke seberang.
“Pemeriksaan polis ke atas kenderaan tidak menjumpai sebarang kesalahan kecuali terdapat seorang wanita berusia 26 tahun di dalam kereta namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ashari, wanita itu kemudian dihantar ke rumah saudaranya di Telok Gong.
“Siasatan mendapati suspek mungkin melarikan diri kerana takut dicekup berkhalwat dengan teman wanita yang baru dikenali di dalam kereta.
“Semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya. – MalaysiaGazette