Home Ekonomi Rizab antarabangsa Februari 2018 tetap boleh guna – BNM

Rizab antarabangsa Februari 2018 tetap boleh guna – BNM

Bangunan Bank Negara Malaysia.

KUALA LUMPUR – Butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa menunjukkan pada akhir Februari 2018, rizab negara tetap boleh guna, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata, mengikut format tersebut, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat tentang saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, serta aset mata wang asing lain.

Ia turut menyediakan aliran masuk dan keluar pertukaran asing yang telah dianggarkan terlebih dahulu dan di luar jangkaan bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

BNM juga berkata, aset rizab rasmi berjumlah US$103.68 bilion (US$1=RM3.85), manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$1.57 bilion pada akhir Feb 2018.

Katanya, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan diunjurkan sebanyak US$229.9 juta.

Sementara itu, jumlah kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak US$8.68 bilion pada akhir Februari 2018, mencerminkan pengurusan semasa mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan.

BNM berkata sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak US$2.41 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Butiran terperinci itu turut menunjukkan satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$90.6 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. – MalaysiaGazette