ALOR SETAR – Elaun bagi pasukan Sukarelawan Polis dinaikkan sebanyak RM2 yang berkuatkuasa serta merta mulai hari ini, umum Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kenaikan tersebut selari dengan kenaikan lain yang diumumkan bagi pasukan Angkatan Sukarelawan Persekutuan lain sebelum ini termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Askar Wataniah.

“Kenaikan ini berkuatkuasa serta merta dan diharapkan agar lebih ramai penyertaan dalam pasukan sukarelawan ini, “ kata beliau semasa Majlis Perasmian Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar (IPD), Kedah hari ini.

Semalam Ahmad Zahid juga mengumumkan kenaikan elaun Askar Wataniah dari RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam bagi anggota.

Dalam majlis sama, beliau juga menggesa supaya pasukan polis meningkatkan mutu perkhidmatan mereka bagi memulihkan persepsi masyarakat terhadap perkhidmatan pihak berkuasa berkenaan.

“Persepsi dalam kalangan rakyat perlu ditingkatkan terhadap kekhuatiran perlakuan jenayah di semua tempat,” ujarnya lagi.

Pembinaan IPD Kota Setar yang bermula pada tahun 2014 melibatkan kos berjumlah RM46.2 juta dan merupakan yang termahal di Malaysia.- MalaysiaGazette