GOLD COAST – Atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad yang menggalas tugas berat selaku atlet pertama untuk menyumbang pingat emas kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel 2018 sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan aksi pada Khamis ini.
Atlet berusia 24 tahun yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini, akan memulakan angkatan dalam kategori 56kg lelaki di Carrara Sports and Leisure Centre.
Walaupun tanpa ditemani anggota keluarga di sini, beliau mahu mencipta kelainan seterusnya menghadiahkan pingat emas kepada ibu bapanya yang berada di Rompin, Pahang.
“Sekiranya saya mampu mencipta kejayaan di sini, ia adalah sesuatu yang lebih bermakna buat saya, hadiah untuk diri sendiri,” katanya kepada Bernama, di sini.
Mengulas mengenai tekanan, Azroy Hazal Wafie mengakui wujud sedikit tekanan namun tidak mahu terlalu memikirkan keadaan itu yang boleh memberi kesan kepada prestasinya nanti.-BERNAMA