ALOR SETAR – Parlimen Langkawi dijangka menyaksikan pertembungan hebat antara Barisan Nasional (BN) dengan blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan Pas dalam PRU-14.

Walaupun dianggap kubu kuat BN, senario politik sudah berubah di Langkawi sejak pusingan U dilakukan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama pembangkang dan Langkawi dianggap sinonim dengannya.

Sumber memberitahu, perubahan calon mungkin akan berlaku di Langkawi dimana penyandang sepenggal kerusi Parlimen tersebut Datuk Ir. Nawawi Ahmad mungkin tidak lagi dikekalkan tetapi ditukar ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di Langkawi, BN menang 2-0 di kedua-dua kerusi DUN ditandinginya dengan majoriti yang besar sebelum ini.

Untuk mempertahankan kerusi pulau pelancongan yang ikonik itu, sumber memberitahu, BN mungkin terpaksa menukar Nawawi dan penggantinya dikatakan terdiri daripada dua ADUN iaitu di Kuah dan Ayer Hangat.

“Nawawi mungkin tidak diletakkan untuk bertanding semula di Langkawi kerana berdasarkan sentimen rakyat dan pemerhatian dilakukan jika diletak juga kemungkinan BN akan tumbang disitu,” kata sumber.

Jelasnya, jalan selamat yang ada adalah meletak calon salah satu calon di DUN untuk bertanding di Parlimen dan ia merupakan langkah yang boleh memenangkan BN.

“Prestasi Nawawi dipersoalkan oleh rakyat di Langkawi, ini bukan suatu yang baik untuk BN dan jika sentimen ini tidak diambilkira sukar untuk kita pertahankan kerusi tersebut,” katanya lagi.

ADUN Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abd Hamid antara calon yang disebut-sebut akan bertanding di Parlimen Langkawi malah beliau juga merupakan Exco Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya.

Seorang lagi calon adalah ADUN Kuah, Nor Saidi Nayan yang turut berada dalam senarai calon.

Sementara itu, PH dilihat semakin pasti mengumumkan Pengerusi mereka, Mahathir bertanding di Parlimen Langkawi dalam usaha menumbangkan kerajaan BN di Kedah.

Pengaruh Mahathir di Langkawi tidak boleh disangkal lagi dan dikatakan sangat disayangi disana.

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Azizuddin Mohd. Sani berkata, walaupun Langkawi merupakan kubu kuat BN namun situasi sudah berubah dan mereka perlu mengambil langkah yang lebih berkesan untuk menandingi pengaruh  Mahathir.

“Langkawi UMNO kuat tapi bila Mahathir masuk situasi sudah jadi lain sekarang,” katanya.

Semasa PRU-13, Nawawi berjaya memenangi dengan 11,861 majoriti menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast