Uefa memulakan prosidiang disiplin ke atas Liverpool ekoran insiden bas skuad Man City diserang di Anfield pada 4 April lalu.

LONDON – Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) membuka prosiding disiplin terhadap Liverpool hari ini.

Tindakan itu menyusul selepas penyokong fanatik the Kops menyerang bas pasukan Manchester City semasa perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-juara Eropah di Anfield Rabu lalu.

Selain itu, Liverpool turut berdepan dua lagi pertuduhan apabila penyokongnya membakar bunga api dan membaling objek di atas padang semasa perlawanan berlangsung.

Penyokong Liverpool memenuhi laluan utama ke stadium dan membaling suar, bom asap, botol dan objek terlarang lain sehingga merosakkan bas skuad the Citizen.

UEFA dalam kenyataan berkata:”Prosiding disiplin telah dimulakan berikutan insiden semasa aksi suku akhir antara Liverpool dan Man City pada 4 April lalu di Anfield.

“Dakwaan di atas Liverpool adalah berdasarkan menyalakan bunga api, membaling objek yang membawa kepada kerosakan dan gangguan awam.

“Dakwaan kedua-dua insiden itu berkaitan dengan serangan ke atas bas pasukan Man City.

“Kes ini akan ditangani oleh Badan Disiplin, Etika dan kawalan UEFA pada 31 Mei ini,” kata kenyataan itu lagi.

Rakaman video dari dalam bas pasukan Man City menjadi bukti kes itu.

Pasukan pelawat terpaksa meneruskan perjalanan ke stadium dengan keadaan bas yang rosak sebelum tewas 0-3 di tangan Liverpool.

Tingkap bas itu didakwa pecah dan kelab terpaksa menyewa bas baharu untuk pulang ke Manchester.

Pep Guardiola kecewa dengan sikap penyokong Liverpool yang menyebabkan insiden itu berlaku.

Polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang membaling objek dan Liverpool menyatakan sokongannya untuk menjejaki pihak tidak bertanggungjawab itu.

Komander perlawanan, Superintendan Paul White berkata, pihaknya menyedari kerosakan yang dilakukan oleh penyokong the Reds.

“Nasib baik tidak ada pemain yang cedera dalam bas, tetapi dua orang pegawai difahamkan tercedera.

“Kami akan mengendalikan enkuiri untuk mengenalpasti suspek dan membawa mereka ke muka pengadilan,” kata beliau. – Agensi