Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mangsor serta barisan kepimpinan parti komponen BN membaca manifesto pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menganggap manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai aku janji yang wajib ditunaikan demi rakyat.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, manisfesto itu tidak dianggap mudah kerana ia bukan satu dokumen yang dirakamkan secara bertulis semata-mata.

Beliau menegaskan, BN berjanji bagi melaksanakan sepenuhnya semua 364 inisiatif dalam manifesto setebal 200 muka surat.

“Aku janji kita dalam manifesto bermula dengan memberi keutamaan kepada ibu dan wanita kerana ‘dikaulah ratu hati di hatiku’.

“Kita letak ibu dan wanita di tempat tinggi kerana kita anggap wanita sebagai tulang belakang kepada negara, kerajaan dan BN.

“BN ingin melahirkan ribuan wanita profesional, berjaya, dlm bidang korporat, penjawat awam, politik dan kepimpinan lain,” katanya semasa majlis pelancaran manifesto BN di Bukit Jalil malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Manifesto BN di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam ini.

Selain pimpinan utama, lebih 12,000 penyokong BN seluruh negara hadir di dalam stadium dan dianggarkan 40,000 penyokong lain berada di luar menjadikan Bukit Jalil ‘lautan biru’ malam ini.

Manifesto BN menawarkan 14 teras yang inklusif, komprehensif dan praktikal iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-Kanak Universal.

Manifesto itu menggarapkan lebih 300 tawaran bagi memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat mencakupi semua peringkat usia.

Najib seterusnya menambah, beliau dan rakan-rakannya dalam BN berikrar akan membangunkan negara ini dari Perlis sampai ke Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, tidak ada satu pun kawasan dan rakyat akan ketinggalan atas prinsip ‘no one left behind’.

Beliau berkata, kerajaan BN juga akan mencipta tiga juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya tengok dalam manifesto pembangkang, mereka hanya janji hendak wujudkan satu juta sahaja, sikit sangat. BN janji tiga juta,” ujarnya.

Najib juga membahagikan manifesto bagi setiap negeri-negeri.

“Kepada rakyat Selangor, kalau BN memerintah, kita janji masalah air di Selangor akan selesaikan.

“Begitu juga di Pulau Pinang, yang nampaknya tidak ada ‘cahaya di hujung terowong’, kita janji sediakan 65,000 rumah mampu milik. Ini janji kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Najib juga mengumumkan inisiatif gembira kepada rakyat Sabah dan Sarawak apabila hak dua negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang terambil atau pun sengaja diambil akan kembalikan semula.

Ujarnya, secara pentadbirannya, BN telah pun melakukan apabila nisbah guru di Sabah dan Sarawak adalah 90 peratus anak tempatan dan 10 peratus dari Semenanjung.

Buat rakyat Kelantan, Najib mengumumkan BN akan mempercepatkan pembinaan lebuh raya dari Gua Musang ke Kota Bharu jika diberi mandat.

Jelasnya, rakyat Pahang juga tidak dilupakan apabila BN akan menambah peruntukan untuk rumah mampu milik, kos rendah dan rumah generasi kedua Felda.

“Untuk rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kerajaan BN akan membina lebih banyak projek urban renewal and redevelopment seperti RumahWIP.

“Bagi rakyat Perlis, kerajaan BN mengumumkan akan membina projek pembangunan Lembangan Sungai Perlis dari Kangar ke Kuala Perlis,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan prakata sebelum membentangkan manifesto, Najib berkata, mandat akan datang adalah untuk masa depan dan BN bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna tanpa cacat cela.

“Namun kami telah melaksanakan banyak pembaharuan dan perubahan sesuai dengan kehendak rakyat. Atas kesedaran itu, saya memohon kepada rakan warganegara yang dikasihi agar menilai prestasi kerajaan BN secara adil dan menyeluruh,” katanya.

Manifesto yang dikemukakan hari ini tidak berada di dalam isolasi tetapi ia harus dibaca bersama Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan bajet-bajet tahunan yang telah dan akan dibentangkan, katanya.

“Percayalah, undi anda untuk BN adalah mandat untuk kelangsungan kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan sebuah negara kecil ini. Semoga Tuhan memberkati kita semua,” ujarnya.

Beliau juga mengakhiri ucapan dengan doa dan memohon bantuan Allah membantu BN meneruskan perkhidmatan sebagai kerajaan di negara ini.- MalaysiaGazette