Murid Tahun Satu ketika hadir perhimpunan pagi pada hari pertama sesi persekolahan 2018 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Alam Damai, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Beban kerja pentadbiran para guru akan dikurangkan dengan pensaizan wajar bilik darjah dan penyediaan peralatan bantuan mengajar yang lebih baik.

Selain itu, sekolah beraliran Bahasa Inggeris akan diperkenalkan yang mana Sabah dan Sarawak dipilih sebagai projek perintis merupakan antara intipati Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, itu antara inisiatif yang akan dibuat sekiranya Barisan Nasional diberi mandat untuk mentadbir negara lima tahun akan datang.

Menekankan kepentingan modal insan dan pendidikan, Manifesto BN bagi PRU14 menzahirkan komitmen jelas parti tersebut untuk memperkasa strategi menyiapkan rakyat menghadapi persaingan kreativiti, daya fikiran dan kemahiran yang semakin kompetitif.

Antaranya dengan melahirkan pekerja pembinaan berkemahiran tinggi melalui skim latihan dan penawaran kadar upah berpatutan.

Pemberian bantuan sekali beri sebanyak RM1,500 kepada anak-anak penerima BR1M yang mendaftar di pusat pengajian tinggi, memanjangkan tempoh pelepasan cukai pendapatan kepada ibu bapa pemilik akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), memadankan pelajar universiti dan bakal majikan di peringkat lebih awal melalui Jawatankuasa Pemadanan Pekerjaan di bawah program SL1M 2.0 serta menaikkan had Insentif Khas Geran Sepadan untuk Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia kepada RM1,000.

Bagi golongan yang kurang bernasib baik, peluang latihan kemahiran dan pekerjaan kepada anak-anak kurang bernasib baik akan diberikan manakala Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di semua sekolah berkaitan akan dinaik taraf untuk membuka peluang dan potensu pendidikan anak-anak OKU.

Semua sekolah daif di luar bandar akan dinaik taraf manakala kapasiti asrama pula akan ditambah.

BN juga katanya akan mendorong majikan untuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak dengan insentif khas seperti pelepasan cukai.

Bagi mengurangkan kos sara hidup, satu kad diskaun khas para pelajar akan diperkenalkan bagi penggunaan sistem pengangkutan, perkhidmatan kerajaan dan pembelian barangan keperluan pendidikan. – MalaysiaGazette