Zazrina Zainuddin membuat persembahan ketika raptai Pelancaran Manifesto Barisan Nasional di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 06 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Wartawan Penyiaran portal berita MalaysiaGazette, Norzazrina Zainuddin dipilih menyanyikan lagu Hebatnya Malaysiaku sempena pelancaran Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum ke-14 malam ini.

Zazrina anak jati Maran, Pahang dan membesar di Felda Chini Timur 1, Pekan itu akan menyanyikan lagu ciptaan Anuar Razak dan liriknya juga ditulis oleh komposer tersebut.

Malam ini Hebatnya Malaysiaku kali pertama diperdengarkan kepada umum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan manifesto di Axiata Arena Bukit Jalil di hadapan kira-kira 40,000 pemimpin dan penyokong Barisan Nasional dalam majlis yang bertemakan Kita Pilih Biru.

Zazrina ketika ditemui berkata, beliau bangga kerana diberi penghormatan untuk menyampaikan lagu tersebut yang dicipta khas sempena PRU14.

Lagu tersebut bertemakan peranan rakyat dan barisan pemimpin negara yang berganding bahu untuk sama-sama memikul tanggunjawab dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

“Walaupun agak gementar untuk menyempurnakan tanggungjawab ini, namun sebagai anak Malaysia yang dibesarkan dalam suasana harmoni, saya melakukan yang terbaik untuk menyampaikan lagu ini,” katanya.

Berkelulusan dalam bidang Penyiaran dari Universiti Lim Kok Wing, Zazrina merupakan Generasi Kedua Felda dan juga mula dikenali sebagai penyampai berita Edisi MG yang bersiaran dua kali sehari Isnin hingga Jumaat.

Zazrina Tidak asing dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan merupakan penyanyi asal bagi lagu 1M4u (2011), Bahasa Kebangsaan(2010), Women of Tomorrow (2010), Malaysia Inovatif (2010), Visit Malaysia 2014, Melaka Maju Negeriku Sayang (2010), Sayangi Selangor Yakini BN (2012), Satu Inspirasi (2013), Gerakan Inovasi (2012) dan Engkaulah Inspirasi (2011).

Pelancaran Manifesto BN berlangsung pada hari Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU14 di mana Najib dijangka membentangkan teras serta intipati manifesto pada pukul 9 malam ini. – MalaysiaGazette