Home Nasional Manifesto BN terlampau banyak – Seng Giaw

Manifesto BN terlampau banyak – Seng Giaw

Tan Seng Giaw

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri sepatutnya menjelaskan berapa banyak peruntukan yang diperlukan untuk melaksanakan janji-janji yang dibuat dalam manifesto Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, manifesto BN terlampau banyak dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk menunaikan janji-janji tersebut.

Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw berkata, Datuk Seri Najib Razak juga perlu memberitahu daripada mana dana yang akan diperoleh bagi melaksanakan manifesto BN itu.

“Manifesto BN terlampau banyak, macam mana hendak buat tu. Berapa perbelanjaannya, daripada mana dana itu akan diperoleh?

“Adakah melalui Petronas, dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau hasil eksport. Sepatutnya kena beritahu juga,” kata Ahli Parlimen DAP selama lapan penggal itu kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai manifesto BN yang diumumkan pada Sabtu lalu.

Ditanya mengenai manifesto BN itu, Seng Giaw berkata, bagus atau tidak manifesto BN bukan isu tetapi kemampuan BN untuk merealisasikannya.

Mengakui belum berpeluang membaca keseluruhan manifesto PH, Seng Giaw berkata, pembangkang juga perlu memperincikan manifesto yang lengkap dengan perbelanjaan supaya ia lebih telus apabila dibentangkan kepada rakyat.

“Tak kisahlah apa pun manifesto BN atau pembangkang, yang penting kena tahu kos supaya kita tahu sama ada manifesto itu boleh dicapai atau sebaliknya.

“Sebab peruntukan itu penting, jika tidak bagaimana hendak mencapai matlamat, terutama kepada pembangkang yang belum ada pengalaman,” ujarnya. – MalaysiaGazette