Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (dua kanan) menunjukkan kenyataan media pada Mesyuarat Khas Tarikh PRU-14 dan Hari Penamaan Calon di Menara SPR, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 10 APRIL 2018.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) ditetapkan pada 9 Mei depan, manakala tarikh penamaan calon pada 28 April.

Perkara tersebut diumumkan oleh pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam sidang media khas di Menara SPR hari ini.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei, manakala tempoh berkempen ialah selama 11 hari.

Pada PRU13 lalu, SPR menetapkan tempoh berkempen pada PRU13 adalah selama 15 hari sementara PRU12 pula ditetapkan selama 13 hari.

Mohd Hashim ketika mengumumkan tarikh-tarikh tersebut berkata seramai 14,940,624 rakyat Malaysia layak untuk mengundi kali ini.

Manakala pengundi awal adalah pada tahap 300,255 orang dan pengundi luar negara pada jumlah 3,653 orang.

“Bagi menjalankan proses PRU14, SPR telah melantik 222 orang pegawai pengurus pilihan raya. Manakala untuk tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen SPR juga menubuhkan 445 Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya,” katanya dalam sidang media di Menara SPR.

Pilihanraya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PRU-14 kali ini bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Pas.

PH menerusi pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat mengumumkan semua calon PH, termasuk DAP, PAN dan PPBM akan bertanding di bawah lambang PKR pada PRU14. -MalaysiaGazette