Home Utama “Terserah pada ATM nilai saya” kata Hishamuddin

“Terserah pada ATM nilai saya” kata Hishamuddin

Hishammuddin Hussein berucap pada Majlis Perasmian Satu Anggota Satu Rumah (SASar) SATRIA Residensi Kem Transmitter, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – “Terserah kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menilai prestasi saya selama menjadi Menteri Pertahanan, tetapi saya sudah bersungguh-sungguh dan saya tidak rasuah, saya sudah cuba yang terbaik,” kata Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Tambah Menteri Pertahanan itu, musim pilihan raya ini akan wujud pihak yang kononnya memperjuangkan ATM, menyebar fitnah, memperlekehkan aset negara dan menidakkan apa yang dilakukan kerajaan selama ini.

Beliau yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tugas yang digalasnya selama mengetuai kementerian itu hanya boleh dinilai oleh anggota-anggota.

“Hari ini mungkin ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang tidak pernah kita tengok pun batang hidungnya, tidak pernah pun perjuangkan anggota dan veteren kita, tetapi tergamak menaburkan janji tertentu, itu tidak apa.

“Tetapi tergamak untuk menidakkan apa yang kerajaan telah lakukan untuk ATM, veteran, Wataniah dan Pusat Khidmat Latihan Negara (PLKN) kita.

“Lebih menyedihkan mereka sanggup maki hamun, menabur fitnah, mereka sanggup menuding juri kepada kepimpinan bukan sahaja kepada politikus, tetapi panglima-panglima kita pun menjadi sasaran, aset-aset kita diperlekehkan. kesatuan ahli anggota kita menjadi gadaian.

“Menyedarkan semua pihak bahawa ini bukan satu mainan kalau saya tidak bersungguh-sungguh menjadi menteri pertahanan, terserah.

“Tetapi saya tidak rasuah, saya sudah cuba yang terbaik. Agenda kita bukan untuk yang di atas sahaja tetapi keutamaan kita adalah untuk memastikan warga kita akan tetap dibela. Ini janji saya kepada tuan-tuan dan puan-puan.

“Almaklumlah satu dua hari ini akan ada macam-macam,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), Satria Residensi di Kem Transmitter Sungai Besi hari ini.

Hishammuddin menambah, selain menjamin akan terus membela nasib ‘anak buahnya’ yang barisan hadapan keselamatan negara,  dalam masa yang sama juga yakin bahawa anggotanya tidak akan terpengaruh dengan mudah.- MalaysiaGazette