KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Husam Musa mendakwa telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob agar tidak mengadakan mesyuarat kelulusan balak dalam tempoh kerajaan sementara ini.
Katanya, surat bertarikh hari ini dihantar kepada Ahmad ke alamat Pejabat Menteri Besar di Kota Darul Naim, di Kota Bharu.
Menurut Husam, gesaan itu dibuat berikutan beliau mendapat tahu kerajaan sementara Pas Kelantan ada memanggil Jawatankuasa Kecil Perhutanan untuk bermesyuarat pada Isnin 16 April ini.
“Saya juga difahamkan ada kertas cadangan untuk meluluskan beberapa permohonan melibatkan Hutan Simpan dengan keluasan yang amat besar pada mesyuarat itu.
“Pada hemat saya, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 7 April lalu, kerajaan sementara ini (caretaker) seharusnya mengelak daripada sebarang komitmen baharu, meliputi kelulusan pembalakan membawa ikatan kontrak melepasi tempoh kerajaan sedia ada yang sudah berakhir,” katanya kepada media hari ini.
Jelas Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, mengikut semangat undang-undang, dengan pembubaran sesebuah DUN seorang menteri besar dengan sendirinya menjadi “menteri besar sementara tanpa kuasa eksekutif sehinggalah kerajaan baru dibentuk dan ketua eksekutif baru dilantik”.
“Saya memetik apa yang ditulis oleh pakar undang-undang mengenai kerajaan caretaker iaitu pertamanya, kerajaan caretaker tidak boleh meluluskan kelulusan besar yang mempunyai kesan melampaui kerajaan sedia ada.
“Kedua, jika ada kelulusan yang tidak boleh dielakkan, pembangkang hendaklah dirundingi kerana ada kemungkinan mana-mana pembangkang akan membentuk kerajaan baharu selepas PRU. Mereka terpaksa memikul beban apa yang diputuskan sekarang.
“Ketiga, sekiranya kelulusan diteruskan, satu klausa hendaklah dimasukkan untuk menyatakan kelulusan itu boleh ditarik balik oleh kerajaan baharu,” katanya.
Sehubungan itu, kata Husam, beliau mencadangkan Ahmad membatalkan mesyuarat berkenaan atau mana-mana mesyuarat yang membawa kesan seperti itu.
“Jika mesyuarat berkenaan diteruskan, saya mohon untuk hadir memerhati perjalanan mesyuarat itu bersama peguam saya atas kapasiti sebagai pembangkang di negeri (Kelantan) ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

















kerajaan sementara pun masih nak buat projet lagi . patutlah tak payah pulang kereta kita masih buat kerja lagi . tak malu ke islam langsung tak ada zuhud . islam apa ni masih berkejar bangkai didunia