Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyerahkan replika kunci rumah kepada Junayer Sukiman (kiri) sambil diiringi Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan TNB, IR.A.Sivanas (tengah) pada Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB 2018 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Penambahan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pengenalan dua kategori penerima baharu adalah lebihan pendapatan negara hasil kenaikan harga minyak dunia yang diserahkan semula kepada rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan Manifesto Barisan Nasional itu tidak akan menjejaskan usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal negara.

Jelasnya, Bajet 2018 dibuat bersandarkan unjuran harga minyak dunia berada pada paras AS$52 setong bagaimanapun ketika ini ia sudah meningkat sekitar AS$67-AS$68 setong.

“Jadi, disebabkan ada peningkatan itu (harga minyak) ia memberi lebihan pendapatan kepada negara.

“Justeru, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berpendapat sewajarnya ia (lebihan itu) dipulangkan semula kepada penerima BR1M dan kategori yang berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 sebagai menampung kekangan berdepan pelbagai faktor luaran,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan rumah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Bhd (TNB) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Kampung Baru, dekat sini, hari ini.

Manifesto BN yang dilancarkan mingggu lalu memperkenalkan dua kategori penerima BR1M baharu iaitu isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000, bakal menerima RM700 dan bantuan sekali RM1,500 diberi kepada anak penerima BR1M, yang dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Manakala bagi isi rumah pendapatan RM3,000 dan ke bawah bagi pemberian pada Jun dan Ogos depan akan digandakan dari RM400 ke RM800.

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, bantuan BR1M pada Jun dan Ogos berjumlah RM300 digandakan kepada RM600, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM900 kepada RM1,500.

Bagi individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang telah terima BR1M sebanyak RM450 pula, akan menerima tambahan RM150 pada Jun, bermakna jumlah keseluruhan adalah RM600.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, Manifesto BN adalah kesinambungan kepada perancangan yang dibuat dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan pembentangan Bajet 2018 yang mana ia memfokuskan kepada usaha untuk membantu rakyat serta pertumbuhan ekonomi.

“Kami sudah berjanji kepada rakyat akan memastikan defisit negara dijaga dan dikawal supaya tidak seperti yang berlaku pada 2009 di mana defisit kita mencapai tujuh peratus.

“Kini, kita sudah berjaya mengawalnya daripada tujuh peratus kepada tiga peratus dan berusaha untuk mencapai 2.8 peratus pada tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia oleh Bank Dunia, Johari berkata, ia membuktikan asas ekonomi negara adalah bagus yang dibantu oleh kestabilan politik yang kukuh.

“BN sudah memerintah negara ini lebih 50 tahun, dari saiz ekonomi cuma RM4 bilion kini sudah mencecah RM1.3 trilion. Dari sebuah ekonomi hanya berlandaskan pertanian, kini sudah transformasi kepada pembuatan, sektor perkhidmatan dan ekonomi digital.

“Transformasi itu adalah hasil kestabilan politik yang baik, malah antara terbaik di ASEAN,” katanya.

Semalam, Bank Dunia menaikkan unjuran KDNK bagi tahun ini kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus sebelum ini, disokong perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

Turut dijangkakan adalah negara dalam landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi di antara tahun 2020 dan 2024. – MalaysiaGazette