Home Dunia Hartawan Jerman yang hilang mungkin maut

Hartawan Jerman yang hilang mungkin maut

Karl-Erivan Haub

BERLIN – Usaha mengesan bilionaire Jerman yang hilang, Karl-Erivan Haub di Banjaran Swiss kini bertukar mencari mayat.

Pemilik rangkaian pasar raya, Kumpulan Tengelmann itu telah hilang sejak tujuh hari lalu.

Kumpulan Tengelmann dalam kenyataan berkata, Haub, 58, yang juga atlit ski dianggap mati dan keluarga serta firmanya sedang berhadapan dengan tragedi yang tidak terduga.

Haub, yang merupakan antara individu terkaya di Jerman dilihat kali terakhir di stesen kabel kemuncak Little Matterhorn, dekat Zermatt, Switzerland.

Beliau dikatakan dalam perjalanan untuk meluncur salji di glasier yang melitupi gunung.

“Bagi pihak keluarga Haub, kami sedih untuk mengumumkan selepas tujuh hari yang mencabar di kawasan glasier, tidak ada peluang untuk hidup bagi Karl-Erivan Haub,” kata Kumpulan Tengelmann.

Firma yang meneruskan pencarian Haub berkata, usaha mengesan diteruskan dalam iklim yang melampau sehingga mayatnya ditemui.

Lokasi pencarian diluaskan di Itali, meskipun dihambat ribut, penglihatan rendah dan risiko lubang yang tinggi.

Haub dipercayai berlatih untukk Patrouille des Glaciers, satu perlumbaan banjaran itu yang dianjurkan setiap dua tahun oleh tentera Switzerland.

Kejohanan itu dijangka berlangsung Selasa depan.

Haub dijangka berpakaian ringkas dan setakat ini penyelamat percaya dia mengalami kemalangan semasa berlatih secara solo.

Telefon bimbit Haub juga telah berhenti menghantar isyarat sejak Sabtu lepas. – MalaysiaGazette