KUALA LUMPUR – Walaupun polis telah menasihatkan agar tidak terlibat dengan Himpunan Tangkap Pencuri di Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum ini namun terdapat segelintir masyarakat yang masih berdegil.

Perhimpuan yang menuntut Low Taek Jho, atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low, ditangkap bermula pada pukul 2 petang di hadapan pusat membeli belah Sogo.

Kedegilan kira-kira 2,000 individu yang terus mengadakan perhimpunan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini pada hujung minggu itu menyaksikan kesesakan lalu lintas di kawasan berhampiran selain menyusahkan pengguna yang mahu pergi membeli belah di kawasan tersebut.

Pada himpunan itu, terdapat peserta yang membawa sepanduk berbunyi ‘Selamatkan Malaysia, tangkap pencuri’, gambar mirip Jho Low dengan mata sebelah tertutup seperti seorang lanun selain replika kapal persiaran, The Equanimty.

Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang hadir pada himpunan itu berkata, individu bersalah seperti Jho Low tidak dikenakan tindakan sedangkan rakyat pula disalahkan kerana mahukan individu tersebut ditangkap.

“Kami mahu keadilan. Malu kita, Indonesia tangkap kita tak tangkap,” katanya ketika berucap pada perhimpunan tersebut.

Perhimpunan bersurai pada pukul 4 petang dan memorandum diserahkan kepada polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast